Monday, July 13, 2009

Sekolah Pondok Modern Gontor Darussalam Ponorogo





Penghujung bulan lepas saya berpeluang mengikuti rombongan Dewan Perdagangan Islam Malaysia ke Solo, Ponorogo dan Jogjakarta. Mereka ke sana atas misi mengembangkan bisnes serta menjalinkan silaturrahim.
Banyak tempat yang kami kunjungi. Salah satu yang amat menarik perhatian dan membuat saya kagum ialah lawatan ke Sekolah Pondok. Jika di Malaysia bila disebut sekolah pondok, perkara pertama menerjah fikiran ia sebuah sekolah kampung yang daif dan sesuai untuk pelajar golongan miskin.
Situasi demikian amat jauhhhhhhh berbeza di Ponorogo. Keluasannya sama seperti sebuah kampung yang lengkap dengan prasarana. Sememangnya ia tidak layak dipanggil sekolah pondok kerana ia sama seperti mana-mana sekolah biasa yang lain.
Jarak antara sekolah lelaki dan sekolah perempuan lebih kurang 100km. Pelajar tinggal di dalam kawasan sekolah. Keluasan sekolah lelaki lebih luas dari sekolah perempuan. Jumlah pelajar lelaki lebih kurang 5 ribu di mana 80 daripadanya pelajar Malaysia dan selebihnya dari Thailand, Arab, Australia (nota : pelajar dari Arab dan Australia adalah pelajar Melayu kita.)

UNIK DAN ISTIMEWANYA sekolah ini ialah sistem pembelajarannya yang mengasuh dan mendidik pelajarnya menjadi usahawan. Di dalam kawasan sekolah terdapat pasaraya yang menjual pelbagai barangan daripada makanan kering, minuman, pakaian, stationery, buku, dan pelbagai lagi.
Saya terkejut apabila diberitahu pelajar juga mengusahakan minuman air mineral, kedai jahit, kedai pastry, rumah penginapan, kilang mencetak buku (semua buku sekolah dicetak di kilang ini) dan pelbagai industri yang tidak sempat kami lawati kerana kesuntukan masa.

Tentu sekali pertanyaan yang menerjah fikiran bila masa pula mereka belajar. Para pelajar hanya mengurus perniagaan yang sedia ada. Jika ada waktu kelapangan mereka akan 'turun padang'.
Bagaimana pula sistem pembelajarannya? Saya sempat berbual-bual dengan beberapa orang pelajar lelaki Malaysia dan bertanyakan hal tersebut. Ia sama sepertimana pelajar Malaysia yang memasuki sekolah agama. Masih belajar subjek-subjek akademik dan bahasa Arab yang kesemuanya berjumlah 23 subjek. (banyakkknyaa..dalam hal ini saya sentiasa respek pada pelajar yang bersekolah agama. Saya selalu melihat belajar di universiti lebih mudah dan menyeronokkan daripada belajar disekolah)
Pelajar di sekolah gontor ini hanya bercuti pada hari Jumaat sahaja. Setiap hari jadual sentiasa padat. Bangun seawal 3.30 pagi bersolat tahjud (ia wajib dilakukan, tiada yang terkecuali, saya musykil kerana 5 ribu pelajar bagaimana pihak sekolah dapat pastikan tiada yang ponteng?) . Mereka menjawab memang tiada, ia sudah menjadi kebiasaan. Jika yang tertidur atau tersengguk2 itu adalah.
nota : Sebenarnya pihak pentadbiran sekolah bertindak sebagai penasihat sahaja kerana semua aktiviti yang dijalankan digerakkan oleh para pelajar sendiri.
Tiga bulan sebelum peperiksaan pelajar akan 'di kuarantin' . Maksudnya pelajar lebih banyak menghabiskan masa mengulangkaji 23 subjek. Bagaimana peperiksaan 'besar'. (spt PMR, SPM, STPM). Pelajar akan menghadapi peperiksaan besar apabila mereka berada di akhir persekolahan iaitu tingkatan 6 (tiada 6 bawah atau 6 atas).
Segala apa yang dipelajari dari tingkatan 1 hingga tingakatan 6 akan disoal. Tiada soalan objektif semuanya subjektif. Kata pelajar tersebut 'kalau pelajar tidak belajar/ mengulangkaji, memang dia tidak akan boleh jawab periksa'. Bagaimana pula dengan yurannya? Hanya RM120 setiap bulan.
Dan tanpa kompromi walaupun sekolah ini terletak di luar bandar, dan mempunyai perkataan 'pondok' sesuatu yang saya kagumi dengan para pelajarnya ialah mereka sangat mahir berbahasa INGGERIS selain bahasa ARAB dan sudah tentu bahasa Ibunda mereka. Hal ini disebabkan ketiga-tiga bahasa ini sangat-sangat ditekankan agar kesemua pelajar mampu menguasainya.
Terlalu banyak untuk diceritakan dan jika ada sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sekolah pondok ini bolehlah berhubung dengan : Hj. Mohamad Sahar Mat Din di talian 019-216 4144. Anak sulong beliau bersekolah di sana dan akan menyusul anak ke dua pula.

Cerita menyeluruh mengenai sekolah ini juga akan disiarkan dalam majalah i Terbitan Kumpulan Karangkraf keluaran OGOS/SEPTEMBER.